Jom Shopping Raya Bersama Anak Yatim & Asnaf Kunak

23 Mac 2025 menjadi tarikh penuh makna di hati ramai insan istimewa di Kunak. Bertempat di pasar raya Servay Jaya Kunak, satu program kebajikan bertemakan “Jom Shopping Raya Bersama Anak-Anak Yatim & Asnaf Keluarga Kunak” telah berlangsung dalam suasana penuh kasih sayang dan keinsafan. Program ini adalah salah satu inisiatif tahunan yang diusahakan oleh Pejabat Khidmat ADUN N63 Kunak sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Lebih 100 anak-anak yatim dan keluarga asnaf dari pelbagai kampung sekitar Kunak diraikan dengan penuh mesra dan kasih. Mereka diberi peluang untuk membeli pakaian raya dan keperluan Aidilfitri, sambil ditemani oleh petugas sukarelawan yang membantu memilih barangan. Suasana pasar raya pada hari tersebut begitu meriah, namun di sebalik senyuman terpancar juga air mata bahagia — menandakan betapa besarnya makna bantuan ini buat mereka.

“Sungguh berbaloi segala pengorbanan dan perjuangan selama ini untuk Keluarga Kunak,” kata YB Datuk Norazlinah Binti Hj Arif yang hadir menyantuni setiap peserta. Dalam nada penuh syukur dan haru, beliau turut berkongsi bahawa setiap sen dan usaha yang dicurahkan terasa amat bermakna apabila melihat wajah-wajah ceria anak-anak ini yang begitu teruja untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna.

Program ini bukan sahaja menjadi jambatan kasih antara pemimpin dan rakyat, tetapi juga sebagai ruang menyemai rasa prihatin dalam masyarakat. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sokongan padu rakan strategik, khususnya Kim Teck Cheong Consolidated Berhad yang sudi tampil membantu menjayakan program ini dengan menaja sebahagian besar daripada keperluan shopping raya.

Sebagai wakil rakyat, YB Datuk Norazlinah menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat berkenaan serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan dana untuk memastikan program ini berjalan lancar. Komitmen mereka bukan sahaja meringankan beban penerima, malah menyemarakkan semangat gotong-royong dan kasih sayang sesama insan.

“Moga Allah redha dan menerima setiap usaha kecil ini sebagai amal jariah yang berpanjangan,” ujar YB DNA lagi.

Aidilfitri tahun ini pastinya membawa lebih makna buat anak-anak umi YB yang diraikan. Mereka bukan sekadar pulang dengan pakaian baharu, tetapi juga dengan hati yang terisi — terisi dengan kasih sayang, penghargaan dan harapan baru. Inilah semangat sebenar Syawal: menyantuni yang kurang, menggembirakan yang lemah, dan menyulam ukhuwah yang lebih erat antara kita semua.

Kunak Prihatin, Kunak Sejahtera.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top