Sejadi Madai Kembali Bernafas: Simbol Kebangkitan Ekopelancongan Kunak

Air Terjun Madai, atau lebih dikenali dengan nama tempatan Sejadi Madai, bukan sekadar kawasan pelancongan. Ia adalah warisan alam, lambang keindahan semula jadi Kunak yang menyimpan nilai sejarah, budaya, dan identiti komuniti kita. Setelah sekian lama menanti, kini rakyat Kunak boleh tersenyum bangga apabila Sejadi Madai kembali beroperasi secara rasmi dengan fasiliti yang serba lengkap dan selesa untuk pengunjung.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya Jabatan Perhutanan Negeri Sabah yang telah menunaikan harapan rakyat Kunak untuk melihat kawasan pelancongan ini diaktifkan semula. Inisiatif ini bukan sahaja memulihkan lokasi yang pernah sunyi, tetapi juga menghidupkan kembali ekonomi setempat dan memartabatkan kebudayaan komuniti Madai.

Pengoperasian semula Sejadi Madai telah diberikan kepada Koperasi Komuniti Pelancongan dan Kebudayaan Madai yang dikendalikan sepenuhnya oleh anak jati Kunak. Dengan penuh semangat, mereka mengurus, membersih dan menyusun semula kawasan ini secara profesional, meskipun berhadapan pelbagai cabaran seperti kekangan kewangan, infrastruktur asas dan pengurusan awal.

Namun berkat kerja keras dan semangat tidak mengenal penat, mereka kini berjaya mengubah Sejadi Madai menjadi destinasi pelancongan yang lebih bersih, lebih teratur dan lebih selamat untuk seisi keluarga. Fasiliti seperti pondok rehat, tandas awam, kawasan parkir, laluan pengunjung dan ruang jualan produk tempatan telah disusun atur dengan baik,membuktikan bahawa komuniti setempat mampu mengurus produk pelancongan secara lestari dan berdaya saing.

Sebagai wakil rakyat, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Kunak untuk turut sama menyokong Sejadi Madai. Tidak perlu pergi jauh. Kita sudah memiliki destinasi indah yang mampu menjadi pilihan rekreasi keluarga, lokasi seni fotografi, dan ruang riadah semulajadi yang menyegarkan minda. Dengan sokongan berterusan, Sejadi Madai boleh menjadi sumber pendapatan kepada peniaga kecil, pengusaha homestay, dan pemandu pelancong tempatan.

Jangan risau tentang keselamatan dan kebersihan. Semuanya telah diuruskan dengan sangat baik. Pengunjung kini boleh menikmati keindahan air terjun, mandi-manda bersama keluarga, sambil menyokong produk-produk tempatan yang dijual oleh komuniti sekitar.

InsyaAllah, ini baru permulaan. Akan ada lebih banyak penambahbaikan yang akan kami usahakan dari semasa ke semasa. Termasuk promosi berskala lebih besar, pembinaan infrastruktur tambahan dan kerjasama strategik dengan agensi pelancongan negeri.

Mari jadikan Sejadi Madai kebanggaan kita bersama.
Kunak Mesti Maju, Warisan Mesti Dijaga.

Pelancongan Naik, Ekonomi Rakyat Terangkat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top