Solusi Masalah Air di Kunak: Ikhtiar & Inisiatif Demi Rakyat

Masalah air Kunak bukan isu baru. Ia sudah bertahun-tahun membelenggu kehidupan harian penduduk di pelbagai kampung. Gangguan bekalan, tekanan air rendah, dan penjadualan catuan yang tidak menentu menjadikan rakyat Kunak semakin tertekan, khususnya ketika musim kemarau dan perayaan. Setiap kali timbul masalah air, akan ada segelintir pihak yang menuding jari kepada Wakil Rakyat, seolah-olah semua tanggungjawab terletak di bahunya semata-mata.

Siapa Bertanggungjawab Sebenarnya?

Sebelum kita terus menyalahkan, elok kita fahami struktur sebenar. Pengurusan bekalan air di Sabah adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Air Negeri Sabah. Segala bentuk perancangan, operasi teknikal, penyelenggaraan dan pengagihan bekalan air adalah tanggungjawab jabatan berkenaan. Sebagai ADUN, peranan saya adalah untuk menyuarakan suara rakyat, membawa isu ini ke peringkat tertinggi, dan mencari penyelesaian bersama.

Saya telah beberapa kali:

  • Membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri Sabah.
  • Mengadakan pertemuan bersama Jabatan Air Negeri dan Daerah.
  • Menggunakan media massa dan sosial untuk menekan pihak berwajib mempercepat penyelesaian.

Namun, penyelesaian menyeluruh masih belum dicapai. Kos pembaikan sistem lama dan pembinaan sistem baharu memerlukan masa dan dana yang besar.

Inisiatif Air Graviti: Solusi Segera untuk Rakyat

Sebagai wakil rakyat, saya tidak mampu berdiam diri. Lalu saya ambil pendekatan luar kotak. Inisiatif pembinaan sistem air graviti telah saya gerakkan dengan menggunakan Peruntukan ADUN. Ia bukanlah penyelesaian jangka panjang sepenuhnya, tetapi mampu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan Jabatan Air dan memberi kelegaan kepada penduduk yang paling terkesan.

Air graviti ini:

  • Percuma – tiada caj dikenakan kepada pengguna.
  • Bersih & semula jadi – sumber dari mata air yang di gali.
  • Sesuai digunakan untuk minuman, mandi, memasak dan keperluan harian.
  • Kurang gangguan kerana tidak bergantung kepada elektrik atau sistem pam yang rumit.

Lokasi Projek Air Graviti Setakat Ini

Sehingga kini, saya telah berjaya membina beberapa unit sistem air graviti di kawasan-kawasan strategik yang paling memerlukan:

  • 2 unit di sekitar Kg. Sungai Atas
  • 3 unit tambahan di sekitar Kg. Pangi
  • 2 unit di sekitar Kunak Tiga
  • 2 unit di sekitar Sungai Langgas

Jumlah keseluruhan terkini ialah 9 unit, dan InsyaAllah lebih 10 lagi unit sedang dalam perancangan dan pelaksanaan di kampung-kampung lain dalam DUN Kunak.

Setiap lokasi dipilih berdasarkan laporan dan permintaan daripada penduduk serta analisa keperluan setempat.

Peranan Kerjasama Komuniti

Kejayaan projek ini tidak akan berlaku tanpa sokongan padu daripada komuniti setempat. Penduduk kampung bersama jawatankuasa kampung bergotong-royong membantu membina dan menyelenggara sistem yang dibina. Ini membuktikan bahawa semangat gotong-royong dan kesatuan masyarakat Kunak masih utuh.

Saya amat berterima kasih kepada semua yang turut sama membantu menjayakan inisiatif ini.

Harapan & Perancangan Masa Depan

Saya tidak akan berhenti di sini. Sebagai wakil rakyat kepada Keluarga Kunak, saya akan terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang, termasuk:

  • Menekan pihak berwajib untuk menaik taraf sistem bekalan air lama.
  • Memastikan peruntukan untuk projek penyelenggaraan paip dan tangki diagihkan secara adil.
  • Mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi negeri dan persekutuan bagi membangunkan sistem bekalan air moden dan berdaya tahan.

Sementara itu, inisiatif air graviti ini akan terus diperluaskan. Saya percaya bahawa tindakan kecil tetapi konsisten mampu memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

Penutup: Masalah Air Kunak Perlu Solusi, Bukan Salah-Menyalah

Masalah air Kunak bukanlah isu politik semata-mata. Ia adalah isu kehidupan dan kesejahteraan rakyat. Kita boleh memilih untuk terus menyalahkan, atau kita boleh memilih untuk bertindak dan membantu.

Sebagai ADUN Kunak, saya telah memilih jalan yang kedua.Berbuat sesuatu, walau kecil, demi manfaat ramai.

Saya yakin, dengan sokongan padu daripada rakyat dan Kerajaan Negeri, kita akan terus melangkah ke depan untuk menjadikan Kunak Mesti Maju, bukan hanya dalam pembangunan fizikal, tetapi juga dalam kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

Kepada seluruh warga Kunak, saya ucapkan terima kasih atas kesabaran, sokongan dan doa yang tidak pernah putus.

“Bersama, kita tangani masalah air Kunak dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata.”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top