Sumbangan Cermin Mata Untuk Syafiq Belia Kunak Harapan Keluarga

Dalam setiap keluarga, ada satu insan yang menjadi tiang – yang rela memikul tanggungjawab di usia muda demi kelangsungan hidup keluarga. Itulah yang sedang dilakukan oleh adik Muhd Syafiq Bin Faisal, anak sulung daripada tujuh beradik yang kini diuji dengan pelbagai dugaan, termasuk masalah kesihatan yang serius.

Syafiq bukan remaja biasa. Beliau dan lima adik-beradiknya yang lain menghidap penyakit mata Retinoschisis Disease — satu keadaan yang perlahan-lahan meragut penglihatan mereka. Dalam usianya yang masih muda, Syafiq sudah diuji dengan dunia yang semakin kelam secara fizikal, namun tetap terus melangkah dengan cahaya semangat yang tidak pernah padam.

Dengan penglihatan yang semakin kabur, Syafiq tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran atau bekerja secara formal seperti remaja lain. Namun, demi membantu keluarga, dia mencari rezeki melalui aktiviti “busking”, menghiburkan orang ramai dengan suara dan muzik sambil menadah rezeki yang halal. Ayahnya sendiri juga sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, manakala ibunya terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan adik-adik istimewa di rumah dan berulang-alik ke Hospital Tawau untuk rawatan berkala.

Menyedari keperluan mendesak ini, Pejabat Khidmat ADUN N63 Kunak telah tampil menyalurkan sumbangan cermin mata khas untuk Syafiq — sebagai usaha kecil untuk membantunya melihat lebih jelas dan terus berdikari mencari rezeki. Walaupun tidak mampu memulihkan keseluruhan masalah mata yang dihadapi, kami berharap sumbangan ini memberi sedikit sinar, harapan, dan semangat untuk Syafiq meneruskan kehidupan yang penuh cabaran.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak Kunak Eyewear atas kesudian mereka memberi diskaun khas untuk cermin mata Syafiq. Inilah semangat sebenar Keluarga Kunak — saling membantu, saling menyokong, dan bersama-sama berjuang demi mereka yang memerlukan.

Sesungguhnya, setiap langkah kecil yang kita ambil bersama boleh mencipta perubahan besar dalam hidup seseorang. Moga Allah redha dan merahmati kita semua, dan semoga Syafiq terus kuat, terus berdikari, dan suatu hari nanti dapat berdiri lebih teguh sebagai inspirasi kepada anak-anak muda lain.

Kesihatan itu amanah, dan setiap insan layak dibantu.
Kunak Kita, Kita Jaga

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top